Followers

Tuesday, November 21, 2017

Moga Ku Tahu Syukurku Adalah MilikMu

Pintu dikuak perlahan. Bilik kecil itu tampak luas dengan kesederhanaan susunan perabot di dalamnya. Aku berjalan menuju ke tepi katil. Tanganku pantas mencapai sebuah alQuran tafsir kecil. Walaupun kelihatan lusuh, tetapi masih tersusun kemas setiap helaian muka suratnya yang diselangi nota-nota kecil penuh makna dan kata-kata nasihat.

Mataku terpaku pada sehelai nota yang agak berbeza saiznya. Jelas kelihatan satu peringatan, “Jangan lupa bersyukur hari ini”. Aku memejamkan mata. Mengimbau kembali segala kenangan dan dosa-dosaku.

“Allah… Ampunkan dosa-dosaku. Alhamdulillah atas segala nikmat yang Kau berikan padaku.”
Aku membelek helaian ayat yang berbunyi :

Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku [Al-Baqarah:152]

Dadaku sebak. Sudah benar-benar bersyukur kah aku?

Dua tahun lalu, aku seorang pemudi yang bersemangat mengejar cita-cita. Aku begitu asyik dengan kejayaan-kejayaan dunia yang ingin aku kecapi. Tetapi, aku lupa nikmat dunia itu hanyalah umpama setitis air yang jatuh ke lautan, sedangkan lautan itu adalah seluas-luas nikmat. Ya, aku lupa aku hanya hamba. Aku lupa untuk bersyukur kepadaNya.

Pada petang aku kehilangan ibuku, aku merasa seperti kehilangan seluruh dunia. Ketika itulah aku sedar, aku terlalu angkuh dengan nikmatNya.

Lalu, aku bangkit dengan matlamat baru. Aku ingin mengejar takhta di syurga!
Lapangkan masa untuk mengalun kalamullah dan mendalami maknanya. Tunduk menangis dan mengadu pada yang Maha Esa tentang betapa kita perlukan petunjuk dariNya. Supaya hidup tidak hanya sia-sia dengan dunia yang sementara.

Amalan yang hanya sedikit cuma, justeru aku berusaha menyebarkan bahagia. Aku mahu semua orang merasa bahagia. Aku mahu dunia yang sementara ini menjadi jambatan untuk semua insan bersama-sama menyelami jiwa hamba. Begitu tinggi azam dan impianku.

“Bersedeqahlah!”

Kata-kata yang aku pegang setiap hari.

Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.

Dan infakkanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kalian menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, (karena) sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat baik. [Al-Baqarah:195]

Kerana dengan memberi akan membahagiakan. Bahagia sang penerima dan bahagia pada yang memberi juga. Bukankah terlalu banyak perkara yang patut kita syukuri?
Tak usah berhenti memuji Ilahi dibibirmu. Walau tidak mampu mengubah dunia, mengapa tidak hanya diri kita?

Hamasah!


p/s gamba xde kena mengena. saja rindu. kbai

wallahualam